MESKIPUN peluang untuk melangkah ke Piala Asia Wanita 2022 tampak kelam, namun penjaga gol pasukan kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan tetap gembira dengan aksi ditampilkan rakan-rakan sepasukan pada aksi kelayakan di Palestin baru-baru ini.
Malaysia yang berada dalam Kumpulan H sudah menamatkan saingan kelayakan dengan mengutip tiga mata selepas menang 3-0 ke atas Palestin selain tewas 0-4 kepada Thailand.
Biarpun hampir pasti untuk melupakan saingan Piala Asia di India tahun depan, namun Azurin tetap lega dengan pencapaian Malaysia pada aksi kelayakan selepas dua tahun tanpa aksi kompetitif.
“Saya bersyukur dengan prestasi sepanjang saingan di Palestin terutamanya selepas mendengar komen positif penyokong di Malaysia.
“Sebenarnya, kami menampilkan aksi yang sangat baik kali ini walaupun keputusan tidak memihak kepada kita kerana sudah dua tahun kami tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Selain itu, Azurin turut menyatakan hasrat untuk menyaksikan bola sepak wanita di Malaysia terus berkembang dengan penganjuran liga tersendiri, sekali gus medan terbaik mencungkil bakat-bakat baharu.
“Harapan saya sudah tentu untuk melihat bola sepak wanita di Malaysia mempunyai liga tersendiri kerana ia mampu untuk menarik lebih ramai anak-anak muda menyertai sukan bola sepak ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain tengah kebangsaan, Andrea Lee Xin Yi berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana membantunya untuk menjaringkan satu gol ketika menewaskan Palestin sebelum ini.
“Saya sangat gembira dengan satu gol yang dijaringkan ketika bertemu Palestin dan ia adalah hasil bantuan rakan-rakan sepasukan. Terima kasih juga kepada jurulatih kerana beri kepercayaan dengan meletakkan saya dalam kesebelasan utama,” jelasnya.