fbpx

Antem ‘dunia parti’ Pepas Farruko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARRUKO merupakan seorang pemuzik yang tidak asing lagi di persada muzik Amerika Latin

SEDANG ‘syok’ berjoging di satu taman sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, terpasang secara automatik pada fon telinga sebuah lagu berbahasa Sepanyol. Lagu berkenaan merupakan dendangan seorang penyanyi kelahiran Puerto Rico iaitu Farruko berjudul Pepas.

Sejujurnya, penulis bukan peminat lagu-lagu yang datang daripada segmen bahasa Sepanyol. Despacito misalnya, kalau itu karya terakhir yang dibikin di dunia, mungkin akan menjadi pilihan paling hujung.

Pepas yang bermaksud pil dalam bahasa Melayu memberi suntikan berbeza dan sedikit sebanyak mengubah pandangan terhadap antem berbahasa selain Inggeris dan bahasa Melayu.

Selepas membuat sedikit carian dalam Spotify, Pepas direalisasikan hasil kerahan otak sembilan orang pemuzik. Punyalah banyak cantuman idea untuk melahirkan satu antem ‘parti’ yang senang ‘bermaharajalela’ dalam minda para pendengar.

Bagaimanapun, dari segi komposisi muzik, Pepas kaya dengan pelbagai cantuman bunyi. Bermula perlahan, kemudian dengan segeranya menaik dan bertukar nuansa menjadi satu perihal yang mengenang kehidupan bebas bergembira prapandemik Covid-19.

Buat sesiapa yang hanya melulu ikut sama melantunkan nukilan lirik lagu dalam bahasa Sepanyol ini, Pepas berkisar tentang kemeriahan berparti sepanjang malam dan tidak ambil kisah apa orang lain fikir serta menjalani hidup dengan kunci, ‘live in the moment’.

Bahagian paling ‘pukul habis’ dan secara peribadi menjadi kegemaran penulis adalah korusnya. Biarpun berkisar tentang hidup berparti, ‘beat’ dan sorakan suara pada bahagian tersebut sangat memberi anjakan paradigma .

Semangat

Kalau seseorang itu sedang berlumba menghabiskan satu larian, bahagian itu (korus) sangat membantu untuk menjejakkan kaki di garisan penamat dengan jaya dan cemerlang. Laungan vokalnya sangat memberi inspirasi dan semangat (biarpun lirik mungkin bercerita tentang parti!)

Sebenarnya, Pepas boleh diibaratkan sebagai satu karya yang betul (senang hinggap di bibir atau melekat di minda) tetapi bukan ‘award-material’ kerana dianggap tidak serius. Terlalu banyak diselitkan elemen ‘electro’ dan itu bukan kualiti acara berprestij. Grammy Awards misalnya.

Namun, jika berada dalam TikTok, Pepas senang menjalar dan mudah menjadi pilihan kalbu ramai. Itu satu perihal yang tidak mampu disangkal.

Kalau dibiarkan terus mendaki carta lagu popular, tidak mustahil lagu ini akan berada kedudukan paling selesa dalam carta Billboard Hot 100 misalnya. Tidak mustahil duduk di posisi Top 10 untuk minggu-minggu mendatang.

Semestinya, Pepas memberi salam perkenalan buat penyanyi yang mendendangkan karya ini iaitu Farruko atau nama lengkapnya, Carlos Efrén Reyes Rosado kepada dunia.

Kalau sebelum ini, kita sering diperdengarkan lagu Sepanyol barangkali daripada Luis Fonsi, sekarang sudah ada Farruko yang sedikit memberi saingan dan seterusnya menyemarakkan muzik ‘Spanish’ kepada masyarakat global.

Bagi yang masih belum kenal dengan pelantun lagu Pepas ini, penulis yang melakukan sedikit carian Google pun agak terperanjat dengan raut wajahnya yang sungguh ‘berfesyen’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI