KEMAMAN – Kerajaan sedang meneliti cadangan melarang golongan transgender daripada memasuki masjid di Wilayah Persekutuan seperti dilaksanakan di Perlis baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan dilaksanakan di Perlis adalah wajar demi menjaga kesucian agama Islam dan masjid sekali gus mengelak daripada berlaku kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Jika golongan transgender masuk ke masjid, contohnya mereka lelaki tetapi memakai tudung, itu sangat tidak sesuai dan boleh menjadi kekeliruan kepada masyarakat.
“Kalau orang lelaki berpakaian wanita, masuk ke ruangan muslimat, itu menganggu privasi kumpulan wanita kerana kadangkala mereka buka tudung untuk memakai telekung. Itu tindakan yang sedang kita teliti untuk laksanakan di peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya selepas menyempurnakan program Inspirasi Qaseh Kami : Bank Makanan Yapeim 3.0 di sini hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, penguatkuasaan larangan di Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merupakan bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala di negeri-negeri lain terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Begitupun, beliau menjelaskan, sekiranya golongan transgender tersebut datang ke masjid untuk bertaubat, ia adalah dibenar dan dialu-alukan.
“Apa pun, setakat ini kita tidak menerima sebarang maklumat mengenai pencerobohan golongan transgender di masjid,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929