fbpx

Tunggakan cukai Sandro, Liridon paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNTUTAN cukai untuk Sandro sahaja berjumlah RM2.3 juta, manakala Liridon pula sebanyak RM1.78 juta.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

TUNGGAKAN cukai melibatkan gandingan bekas pemain Helang Merah iaitu Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi adalah jumlah tertinggi daripada keseluruhan nilai RM10.4 juta yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika ini.

Menurut Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor, tunggakan cukai untuk Sandro sahaja berjumlah RM2.3 juta, manakala Liridon Krasniqi pula sebanyak RM1.78 juta.

Katanya, pengurusan KFA terdahulu didapati memotong gaji pemain serta jurulatih terlibat, namun gagal melunaskan bayaran cukai kepada LHDN.

“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut melibatkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000)

“Tuntutan tunggakan cukai itu turut melibatkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dwan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar semalam.

Terdahulu, ketika membuat penggulungan pada Sidang DUN itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad mendedahkan bahawa KFA kini berdepan tuntutan cukai lebih RM10 juta setelah LHDN melakukan semakan semula terhadap perkara tersebut.

Menurut Mohd. Firdaus, berbanding tuntutan untuk tempoh 2016 hingga 2019 dikemukakan LHDN berjumlah RM3.4 juta sebelum ini, badan berkanun itu kemudiannya menghantar satu lagi notis tuntutan selepas melakukan semakan semula yang mengambil kira tunggakan dari 2014 hingga 2019 bernilai lebih RM10 juta.

Muhammad Sanusi menambah, beliau ada bertanyakan kepada pihak LHDN mengapa tuntutan tersebut tidak dibuat pada tahun sama?

“Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, maka mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan sebuah badan membuat keuntungan sebaliknya bergerak memajukan sukan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI