fbpx

Tiga sindiket ‘ah long’ tersungkur dalam serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIMBAH cat antara ugutan yang sering dibuat ah long kepada peminjam yang gagal membayar hutang. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Polis berjaya melumpuhkan tiga sindiket ‘ah long’ yang ada di antaranya dikesan telah aktif sejak tahun 2019 lalu menerusi beberapa siri serbuan di empat negeri pada 7 dan 23 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket yang berjaya dilumpuhkan itu adalah daripada kumpulan ‘Ah Han’, ‘Ah Sing’ dan kumpulan ‘Jimmy’ yang dikesan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

“Menerusi Ops Vulture yang dilakukan di Johor, Pahang, Terengganu serta Kedah, kita telah berjaya menahan 52 individu terdiri daripada 46 lelaki juga 5 wanita tempatan serta seorang wanita warga asing dan seorang remaja berusia 15 tahun.

“Pasukan serbuan turut merampas 24 buah kenderaan pelbagai jenis, telefon bimbit (142), kad bank (178), risalah pinjaman wang (52), salinan kad pengenalan dengan nota ugutan (42), buku maklumat peminjam (25), sepanduk iklan pinjaman wang (81) dan wang tunai sebanyak RM341,323,” katanya pada sidang akhbar secara maya, hari ini.

Menurut Mohd. Kamarudin, modus operandi sindiket-sindiket ini adalah mengiklankan tawaran pinjaman di platform media sosial seperti Facebook, WeChat dan aplikasi WhatsApp dengan menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan juga swasta.

“Pinjaman yang diberikan adalah dengan kadar faedah 10 hingga 20 peratus seminggu dan peminjam yang gagal membuat pembayaran semula diugut menerusi panggilan telefon atau dengan perbuatan khianat seperti rumah disimbah cat atau dilempar ‘molotov cocktail’.

“Malah ada juga peminjam yang gagal melunaskan hutang ditawarkan lagi pinjaman baharu dengan alasan untuk membayar pinjaman sebelumnya agar rantaian pinjaman itu berpanjangan,” jelas beliau.

Tambah beliau, semakan rekod yang dilakukan mendapati sebahagian daripada suspek yang ditahan turut mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau malah ada di antara mereka yang sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

“Siasatan berhubung kes ini dijalankan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ancaman dan ugutan jenayah) serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu).

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta ) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) serta Akta Pencegahan Jenayah 1959,” tegas beliau. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI