PUTRAJAYA – Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan telah dikemas kini selaras dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri tersebut hari ini.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pihak kementerian telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut
“Sehubungan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor akan bermula 10 Oktober depan berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.
“Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi Pahang pula kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya, memandangkan Pahang beralih ke Fasa 3 pada hari ini, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri itu akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula 11 Oktober 2021.
“Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.
“Memandangkan Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 hari ini, maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021,” katanya.
Menurutnya, bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa hari ini, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan KPM pada 12 September lalu.
“Institusi pendidikan bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru,” katanya.
Menurutnya, ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929