KUANTAN – Sudahlah suaminya diberi cuti tanpa gaji akibat wabak Covid-19, kini seorang suri rumah berhadapan ujian besar apabila terlantar sakit akibat masalah tulang belakang sejak April lalu.
Fauziah Abdul Raki, 39, dari Kampung Kubang Ikan dekat Cherating di sini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selain perlu menjalani rawatan fisioterapi sebanyak tiga kali sebulan di Hospital Kemaman, Terengganu.
Ibu kepada dua anak berusia tiga dan lapan tahun itu berkata, dia mula mengalami rasa sakit sejak pertengahan Ramadan lalu apabila sukar untuk berdiri selepas bangun tidur.
“Keadaan itu berlarutan dan semakin teruk selepas saya mengambil pelbagai jenis ubat. Akhirnya saya membuat pemeriksaan di Hospital Kemaman dan doktor mengatakan saya mengalami keadaan tulang belakang yang lurus dan tidak normal.
“Doktor memberitahu, saya ada peluang untuk sembuh dengan menjalani rawatan fisioterapi yang disarankan” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Fauziah, sejak itu dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selain bantuan suami bagi menguruskan diri.
Dia berkata, keluarganya kini hanya bergantung hidup kepada wang pengeluaran skim i-Lestari selepas suaminya, Ahmad Nazeri Sofian, 38, yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang telah diberi cuti tanpa gaji sejak lebih lima bulan lalu.
Penderitaan Fauziah mendapat perhatian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Amal Membantu Insan Raub dan Lipis, Pahang (Amal Team) yang tampil memberikan bantuan katil khas dan kerusi roda selain barangan keperluan dan wang tunai.
Pengerusi Amal Team, Shahrollail Basri berkata, bantuan katil itu diberikan secara percuma dan pesakit boleh menggunakannya selama mana yang diperlukan.
“Setakat ini kami mempunyai 185 katil khas ini yang kini digunakan oleh golongan asnaf, malah sejak 2016 hingga kini, lebih 250 asnaf seluruh negeri ini sudah mendapat manfaat bantuan itu,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Fauziah Abdul Raki 7059322719 atau menghubungi nombor 017-939 4027.