fbpx

Sebulan sembuh Covid-19, Fazli Zainal periksa peti suara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPUTUSAN pemeriksaan peti suara dilakukan Fazli akan diketahui dalam masa dua minggu.

PETALING JAYA – Selepas hampir sebulan disahkan sembuh daripada wabak Covid-19 tahap empat, penyanyi Fazli Zainal meneruskan sesi rawatan dengan menjalani prosedur pemeriksaan untuk melihat keadaan ‘vocal chords’ atau peti suaranya.

Ujar penyanyi berusia 44 tahun itu, prosedur yang lakukannya merupakan prosedur biasa yang dibuat ke atas pesakit yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk melihat keadaan peti suara mereka.

“Alhamdulillah. Allah SWT masih beri saya nafas dan suara. Syukur. Ini prosedur biasa yang akan dilakukan untuk melihat keadaan peti suara kita sekiranya berlaku jangkitan dan sebagainya.

“Selepas dua minggu kita tengok apa perkembangan peti suara saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Harapan itu turut menzahirkan pujian dengan kuasa dan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya selepas diberi kesempatan dan peluang kedua untuk terus hidup.

Ujar Fazli, dia semakin mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan kepadanya selama ini dan mengagumi kebesaran Allah SWT.

“Allahuakhbar, Allah Maha Besar. Kita cuma nampak apa yang kita nampak sahaja tapi jarang terfikir bagaimana Allah SWT mencipta sesuatu daripada sekecil zarah sehinggalah sebesar organ dalam tubuh kita ini.

“Doakan saya segera sembuh,” kongsi Fazli yang meluahkan rasa syukur tidak terhingga kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk bernafas dan memiliki suara untuk terus bernyanyi.

Tambahnya lagi, keputusan pemeriksaan tersebut dijadualkan akan diketahui dalam masa dua minggu.

Melihat dalam ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan agar proses tersebut berjalan lancar buat Fazli.

“Masya-Allah, moga diberi kesembuhan ya,” kata salah seorang pengikutnya dalam Instagram.

“Allahu, semoga diberikan kesembuhan seperti sedia kala dan dipermudahkan proses penyembuhan,” kata seorang lagi pengikutnya.

Sebelum ini, Fazli menerima rawatan di Hospital Ampang selama 29 hari selepas dijangkiti wabak Covid-19 sebelum dibenarkan keluar hospital pada 29 Ogos lalu.

Bercakap kepada Kosmo!, Fazli memaklumkan bahawa 75 peratus paru-parunya telah rosak dan memerlukan rawatan susulan untuk sembuh seperti sediakala. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI