DENVER, Colorado – Sebuah satelit bersaiz kotak bijirin Cheerios berharga AS$4 juta (RM16.7 juta) akan dihantar ke angkasa lepas untuk misi tinjauan khas pada hujung bulan ini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin,
Penghantaran satelit istimewa itu bertujuan meneroka keadaan fizikal planet yang terletak jauh dari sistem solar dikenali sebagai ‘Hot Jupiters’ yang juga merupakan planet terpanas pernah dijumpai.
Dikenali sebagai Eksperimen Transit Ultraungu Colorado (CUTE), satelit kubus (CubeSat) berbentuk kapal angkasa itu akan melakukan misi selama tujuh bulan untuk meninjau planet-planet berkenaan.
Ia juga merupakan misi pertama CubeSat yang dibiayai oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) untuk meninjau planet di luar sistem solat dan melihat apa yang mampu dilakukan oleh teknologi tersebut.
“Ini adalah eksperimen yang dilakukan NASA untuk mengkaji sejauh mana teknologi yang mampu digunakan dengan satelit kecil.
“Ia penyelidikan menarik tetapi dalam masa sama agak menakutkan,” kata penyelidik utama Laboratorium Fizik Atmosfera dan Angkasa Angkasa (LASP) Universiti Boulder, Kevin France.
CubeSat akan berlepas ke angkasa dengan roket United Launch Alliance Atlas V di samping satelit Landsat 9 dari Pangkalan Angkasa Vandenberg di Lompoc, California pada 27 September ini.
Menurut NASA, planet-planet di kawasan ‘Hot Jupiters’ adalah gas raksasa yang mengorbit bintang-bintang mereka dalam jarak dekat.
Salah satu planet itu, KELT-9b ditemui pada Jun 2017 dan mempunyai suhu 4,315 darjah Celcius. Ia hanya memerlukan masa satu setengah hari untuk mengorbit bintangnya. – Agensi