KULAI – Sepasang suami isteri di Taman Dasa, Senai di sini, terpaksa bergantung harap kepada ihsan rakan serta jiran untuk menyara tujuh anak mereka sejak tiga bulan lalu.
Keperitan itu ditanggung Mohd. Fathan Affendi Ismail, 36, bersama isterinya, Hayeera Deng, 36, selepas dia kehilangan punca pendapatan akibat serangan angin ahmar pada Jun lalu lalu.
Mohd. Fathan yang sebelum ini bekerja kilang tidak mampu lagi mencari rezeki selepas hanya mampu berkerusi roda setelah kaki dan tangannya lumpuh.
Pasangan itu mempunyai tujuh orang anak berusia tujuh bulan hingga 13 tahun.
“Duit simpanan yang ada telah digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan dapur serta susu dan lampin untuk anak kecil berusia tujuh bulan dan 18 bulan.
“Saya berasa sangat sedih dengan keadaan yang menimpa diri, tak mampu membuat sebarang kerja.
“Saya berharap dapat sembuh seperti dahulu untuk bekerja semula mencari rezeki demi keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dasa, Taman Dasa di sini kelmarin.
Mohd. Fathan memberitahu, dia sebelum ini mampu meraih pendapatan RM3,000 sebulan dengan bekerja di sebuah kilang selain membuat kerja sambilan membaiki kereta.
Biarpun terkesan apabila wang simpanan semakin menyusut, Mohd. Fathan dan isterinya tetap segan untuk meraih simpati orang ramai.
“Saya juga tidak pernah mengadu dengan orang lain tentang nasib kami. Yang tahu hanya dalam kalangan keluarga, jiran-jiran dan rakan,” katanya.
Selain angin ahmar, lelaki itu turut menghidap penyakit kencing manis dan perlu menjalani sesi fisioterapi setiap dua minggu di Hospital Kulai.
Bagaimanapun, nasib malang yang menimpa keluarga itu mendapat perhatian Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang datang menghulurkan bantuan berupa susu formula, lampin bayi, barangan keperluan harian, dan barangan elektrik.
Bagi yang mahu membantu, boleh menghubungi Mohd. Fathan di talian 012-7833144 atau salurkan sumbangan ke akaun Public Bank miliknya bernombor 4460084024.