fbpx

Sakit saraf kembali menyerang, Aaron kuat demi keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKIT pada bahagian leher kembali menyerang Aaron selepas sebulan menjalani pembedahan.

PETALING JAYA – Baru sebulan menjalani pembedahan pada sendi leher, pelakon Datuk Aaron Aziz kembali berdepan kesakitan ketika melakonkan babak lasak dalam sebuah penggambaran drama baru- baru ini.

Katanya, demi mencari rezeki buat keluarga tercinta, dia rela menahan kesakitan akibat kecederaan sebaik melakukan aksi masuk ke dalam bonet kereta.

“Inilah keadaan abang kena lalui demi seni yang abang cintai. Babak kena sumbat dalam but kereta, jadi leher terjejas.

“Abang tahan sakit demi keluarga, abang sanggup buat apa pun untuk keluarga, kasih sayang seorang ayah,” tulisnya dalam Instagram beberapa hari lalu.

Sebelum ini, aktor kelahiran Singapura itu mendedahkan mengalami saraf tersepit pada bahagian lehernya sejak lapan tahun lalu hingga terpaksa keluar masuk hospital.

Kali pertama Aaron, 46, berhadapan penyakit tersebut adalah pada 2012 iaitu sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.

Begitupun, Aaron mengakui perasaan takut menghalangnya menjalani pembedahan mengeluarkan saraf yang tersepit itu seperti disarankan doktor.

Namun, selepas beberapa tahun menahan kesakitan dia memaklumkan perlu melakukan pembedahan segera yang kemudian selamat dijalani pada Ogos lalu.

Sementara itu, perkongsian keadaannya yang terkini dalam laman sosial mengundang komen ramai apabila rata-rata pengikut mendoakan kesejahteraan kesihatan bapa kepada tiga cahaya mata itu.

“Syafakallah, semoga Allah SWT beri kesembuhan dan diangkat kesakitan. Amin,” kata seorang pengikut Instagramnya.

Menerusi perkahwinan dengan Diyana Halik, mereka dikurniakan Danish Anaqi, 16, Ariana, 14, serta Dahlia Arissa, 10. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI