JAKARTA – Sebatang pokok kelapa yang tumbuh di Kabupaten Pacitan, Jawa Timur telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikannya yang bercabang lapan, lapor Suara.com, semalam.
Pokok berusia 40 tahun milik Kateno dari Desa Ploso itu dianggap istimewa kerana kebiasaannya pokok kelapa hanya tumbuh lurus tanpa dahan bercabang.
Menurut Kateno, pokok kelapa setinggi lapan meter itu pernah mahu dibeli orang pada harga 15 juta rupiah (RM4,406).
“Seingat saya, benihnya adalah benih biasa seperti kebanyakan pokok kelapa yang selalu saya tanam.
“Saya tidak sangka apabila tumbuh, ia akan bercabang lapan seperti ini hingga ada yang sanggup membelinya,” ujar Kateno.
Namun begitu, Kateno menolak tawaran itu dengan baik kerana bapanya sudah berpesan agar pokok tersebut tidak diserahkan kepada orang lain.
Sementara itu, Ketua Kampung Desa Ploso, Agus Cahyono mengakui kisah tular pokok kelapa ini menjadikan desa itu sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jawa Timur. – Agensi