MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui sangat kecewa dengan aksi perlahan dipamerkan oleh para pemainnya ketika tewas 0-1 kepada West Ham United pada aksi Piala Liga Inggeris awal pagi semalam.
Jaringan Manuel Lanzini pada minit kesembilan menyaksikan West Ham berjaya menyingkirkan United pada saingan tersebut.
The Red Devils berjaya melakukan 27 percubaan ke arah gawang The Hammers, namun gagal mendapatkan sebarang gol untuk akur dengan kekalahan berkenaan sekali gus menjadi kekalahan kedua dalam tiga aksi apabila tunduk kepada Young Boys minggu lalu.
“Kami gagal menjaringkan gol dan permulaan permainan juga agak perlahan. Ia adalah perkara yang kami perlu berikan perhatian.
“Mereka mendapatkan gol awal dan kemudian kami
bermain dengan baik untuk tempoh yang lama. 27 percubaan yang dilakukan tidak memberi sebarang makna kerana kami gagal untuk meraih jaringan.
“Anda sentiasa mahu terus berada dalam saingan tetapi musim ini masih panjang dan kami akan melakukan yang terbaik. Saya tidak mahu menyalahkan sikap pemain kerana kami bakal berdepan perlawanan yang lebih besar selepas ini.
“Kami akan terus melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dan cuba mendapatkan keputusan yang baik. Kami tersingkir pada saingan ini dan ia bukan sesuatu yang kami inginkan tetapi kami perlu fokus untuk perlawanan Sabtu nanti,” katanya.
United bakal berdepan lawan yang agak kuat apabila dijadual turun menentang Aston Villa di Old Trafford Sabtu ini sebelum membuat perhitungan dengan Villareal pada saingan Liga Juara-Juara pada Rabu nanti.
– AGENSI