PUTRAJAYA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) digesa membuat pendirian jelas berhubung isu diskriminasi ke atas beberapa jenis vaksin yang diamalkan beberapa buah negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, satu ketetapan wajar dan adil perlu dibuat memandangkan semua pengeluaran vaksin telah mendapat kelulusan WHO.
“Ada sesetengah negara menetapkan hanya individu menerima vaksin tertentu sahaja diberikan pengecualian daripada melakukan ujian pengesanan Covid-19 sebelum berlepas dan menjalani kuarantin setelah tiba di negara berkenaan.
“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana semua faham bahawa vaksin melindungi individu daripada risiko mendapat jangkitan yang lebih teruk serta mengurangkan gejala penyakit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, sebarang kemudahan atau kelonggaran mesti dibuat berdasarkan kawalan dan pencegahan penyakit serta tindakan kesihatan awam di negara berkenaan dan bukannya berdasarkan jenis vaksin.
Sebelum ini, United Kingdom mengumumkan kemudahan kelonggaran bagi individu yang mendapat vaksinasi penuh untuk keluar masuk ke England bermula 4 Oktober ini. Kelonggaran itu diberikan kepada 17 buah negara termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, kelonggaran itu diberikan penerima lengkap vaksin jenis AstraZeneca, Pfizer, Moderna atau Janssen termasuk campuran dua dos mana-mana jenama itu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929