fbpx

Pahit getir urus bisnes ketika pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIPPON Sushi merupakan salah satu restoran yang dimiliki Siti Noraini selepas melepaskan jawatan dalam bidang korporat.

MENINGGALKAN dunia korporat dan menceburkan diri dalam industri makanan dan minuman ternyata merupakan satu keputusan tepat yang dibuat oleh Siti Noraini Nuawi, 46.

Sebelum ini, dia bertugas dalam bidang pemasaran di beberapa syarikat terkemuka tekad mengambil keputusan itu dan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya.

Kini Siti Noraini boleh tersenyum bangga atas usaha kerasnya selama ini selepas memiliki rangkaian restoran jenamanya sendiri iaitu Nippon Sushi, MyViets dan KC&T.

Berbicara tentang penglibatannya dalam industri berkenaan, Siti Noraini menjelaskan, dia bermula agak lewat sebenarnya.

SITI NORAINI berkhidmat dalam bidang korporat selama 15 tahun sebelum mengambil keputusan menceburi perniagaan.

“Saya terlibat dalam industri ini ketika usia lebih 40 tahun. Sebelum itu, saya mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia korporat.

“Saya meninggalkan dunia korporat disebabkan hal tertentu dan pada masa sama, saya melihat potensi besar yang ada dalam industri makanan dan minuman,” jelasnya yang berasal dari Kelantan itu.

Tambahnya, keputusan untuk menceburkan diri dalam bisnes mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami tercinta, Muhammad Riduan Jasmi.

Siti Noraini menjelaskan, pengalaman dalam bidang pemasaran sebelum ini menjadi satu kelebihan buatnya dalam menguruskan perniagaan.

Bagaimanapun, dia tidak memiliki pengalaman berkaitan operasi bisnes yang diceburinya itu. “Pada awalnya, saya hanya mengambil alih rangkaian restoran francais untuk belajar terlebih dahulu dalam menguruskan operasi.

“Saya diberi tunjuk ajar tentang operasi perniagaan,” jelasnya.

Pada 2017, setelah mengetahui selok-belok pengurusan operasi, dia mengambil keputusan untuk membuka restoran jenamanya sendiri iaitu Nippon Sushi.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia mengambil keputusan membuka Nippon Sushi kerana melihat tidak banyak restoran di Malaysia yang menawarkan makanan Jepun yang halal sepenuhnya.

Keputusannya membuka restoran jenama sendiri berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik.

Selapas beberapa tahun beroperasi, dia berjaya membuka beberapa rangkaian restoran itu di sekitar
Lembah Klang, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Usahanya untuk membawa jenama sendiri tidak terhenti di situ sahaja apabila Siti Noraini turut membuka restoran MyViets yang menawarkan makanan Vietnam serta KC&T yang menyajikan makanan dan minuman dari Korea dan Taiwan.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, perjalanan menguruskan rangkaian restoran itu bukan mudah seperti disangka, malahan ada cabaran yang tersendiri.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara turut memberi impak besar dan jualan rangkaian restoran milik Siti Noraini jatuh sehingga 70 peratus.

“Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan dan orang ramai tidak boleh datang untuk makan menyebabkan perniagaan kami terjejas.

“Saya rasa tercabar sangat pada waktu ini dan ada ketikanya ada hasrat untuk menutup sebahagian operasi restoran,” jelasnya.

KELUARGA menjadi tulang belakang yang menyokong setiap keputusan Siti Noraini dalam perniagaan makanan dan minuman yang diceburinya.

Dalam keadaan tertekan itu, Siti Noraini beruntung kerana bukan sahaja diberi sokongan moral, malahan suaminya turut memberi bantuan dalam pengurusan kewangan terutamanya dalam mengawal aliran tunai.

Ini kerana, suaminya mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang kewangan.

Hasil perancangan rapi, dia berjaya meneruskan operasi kesemua rangkaian restoran miliknya itu.

Selain itu, dia juga bersyukur kerana berjaya mengekalkan pekerjanya seramai 300 orang walaupun terpaksa berhadapan situasi sukar.

“Saya amat bersyukur kerana pekerja memahami situasi ini dan mereka juga tidak merungut walaupun tidak boleh melakukan kerja lebih masa.

“Pada masa sama, bantuan yang disalurkan kerajaan juga banyak membantu perniagaan saya untuk terus ‘bernafas’,” jelasnya.

Tambahnya, dia sendiri tidak mengambil gaji sebagai pengarah syarikat pada situasi sukar itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI