RINDU buat Siti Sarah kekal memberat di jiwa, namun luarannya Shuib harus terlihat kuat. Di depannya, empat cahaya mata sedang ‘benderang’. Di dukungannya, Ayash Affan terlalu rapuh dan harus ditatang. Atas amanah besar tersebut ada korban yang harus dilepaskan.
Wajahnya tenang. Tiada lagi gelora emosi yang bertakung di kelopak matanya, seperti lebih sebulan lalu.
Barangkali, kepulangan anak bongsunya Ayash Affan ke rumah pada 14 September lalu sedikit sebanyak mengubati jiwa lara pemilik nama lengkap Shahmira Muhamad itu.
Bohong jika hatinya sudah pulih 100 peratus daripada memori duka tersebut, mungkin situasi semasa berjaya mengalihkan kesedihan yang membadai dirinya pada 9 Ogos lalu.
Bersua secara maya dalam majlis bacaan Yasin sempena 40 hari pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 17 September lalu, Shuib memberitahu rutin kehidupannya kini berubah.
Hari-harinya dipenuhi ‘jadual’ menguruskan empat cahaya matanya. Dialah bapa. dia jugalah ibu kepada Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash yang baru berusia lebih sebulan.
Penjagaan Ayash rapi
Menyorot kembali jalan hidup ahli kumpulan pelawak terkenal Sepahtu itu, Shuib pernah memberitahu, tidak dapat membayangkan dirinya untuk melalui perjalanan hidup pada usia 37 tahun seorang diri tanpa ditemani isteri di sisi.
Namun, kini terpancar jiwa reda pada wajahnya. Seperti yang diluahkan tempoh hari, redanya semakin ‘bulat’ biarpun rindu kekal membelenggu.
Bercerita mengenai Ayash, Shuib menyifatkan hadiah terakhir peninggalan awah isterinya itu sebagai bayi yang sangat luar biasa kerana tidak mempunyai banyak ragam.
“Ayash mudah dijaga, namun tetap memerlukan penjagaan rapi seperti minum susu setiap tiga jam sekali.
“Di rumah tidak boleh ada asap atau terdedah dengan habuk. Semua itu kerana paru-parunya masih belum matang.
“Dia juga jarang merengek tetapi jika menangis saya biarkan saja sebab tangisannya sangat mahal. Suka sangat mendengarnya,” ujarnya yang turut mengikuti kursus penjagaan bayi pramatang di hospital dua hari sebelum membawa pulang Ayash ke rumah.
Bercerita lanjut, pemilik jenama minuman berasaskan madu Bubble Bee itu memanjatkan kesyukurkan kerana Uwais, Talita dan Matin sangat mengambil berat tentang adik mereka.
“Hebatnya tiga beradik itu dengan kasih sayang yang dicurahkan dan kematangan menjaga Ayash.
“Jika Ayash sedang tidur, mereka tak akan buat bising dan sangat ambil berat serta tahu apa yang perlu dilakukan kepada adik mereka seperti waktu minum susu atau tukar lampin.
“Memiliki anak seperti mereka ialah satu nikmat yang Allah SWT beri ketika ini, syukur alhamdulillah,” katanya yang belum bersedia berkongsi wajah Ayash untuk tatapan.
Tambah Shuib, dia risau, kalau-kalau perbuatan tersebut boleh mengundang penyakit ain.
“Saya memahami ramai nak lihat wajah Ayash memandangkan telah mengikuti kisahnya sejak dilahirkan tempoh hari tetapi dia bayi pramatang dan banyak benda yang perlu saya jaga.
“Jadi, saya ikut nasihat beberapa ustaz iaitu menangguhkan dulu perkongsian wajah Ayash untuk elak pelbagai perkara tidak baik seperti penyakit ain,” ujarnya.
Batalkan aktiviti hiburan
Menyedari amanah dan tanggungjawab besar yang sedang dipikul, Shuib turut mengumumkan hasrat mahu merehat karier seni buat sementara waktu.
Keputusan tersebut diambil susulan jadual hariannya yang kini sudah berubah 100 peratus.
“Semuanya telah berubah termasuklah jadual harian saya, terutama selepas Ayash dibawa pulang ke rumah. Dia memerlukan penjagaan rapi memandangkan masih dalam tempoh pramatang.
“Berehat yang saya maksudnya bukannya berhenti tetapi tidak terlibat dengan sebarang program buat sementara waktu.
“Banyak juga jemputan yang saya terpaksa batalkan baru-baru ini,” katanya lagi.
Dalam tempoh ‘berehat’ tersebut, dia juga masih dalam fasa untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada empat orang anaknya.
Selain itu, dia juga sempat berseloroh apabila terasa janggal memegang gelaran bapa tunggal.
“Pelik pula dengan gelaran tersebut tetapi inilah kehidupan saya sekarang. Penggantungan anak-anak juga sudah beralih 100 peratus kepada saya sejak ibu mereka meninggal dunia.
“Jadi, ada baiknya saya fokus dulu dengan keadaan di rumah bagi memastikan kehidupan dan pelajaran anak-anak terjaga,” katanya lagi.
Hati-hati dalam bertutur
Dalam kerancakannya berkongsi perasaan dan perjalanan hidup, Shuib turut mengingatkan diri agar sentiasa berpada-pada apabila berkata-kata.
Ujarnya, peringatan tersebut bagi memastikan dirinya tidak dibuai dengan emosi atau terlalu galak bercerita sehingga boleh memberikan impak negatif buat arwah isteri.
“Kadang-kadang bila terlalu banyak bercerita, saya terfikir, adakah Sarah okey dengan apa yang saya kongsi.
“Takut juga apa yang saya tuturkan akan menghiris perasaannya.
“Perasaan risau itu menyelubungi diri dan kerana itu saya mengambil pendekatan untuk lebih berpada-pada dalam setiap pertuturan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.