Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) kini berdepan tuntutan tunggakan cukai berjumlah lebih RM10 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, tuntutan cukai tersebut dibuat LHDN setelah melakukan semakan semula terhadap perkara itu.
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, pada mulanya KFA menerima satu tuntutan notis LHDN berjumlah RM3.4 juta tidak termasuk kompaun untuk tempoh 2016 hingga 2019.
“Pengurusan terkini KFA telah memberikan komitmen penuh untuk membayarnya dan LHDN pula memberi tempoh tertentu untuk KFA melaksanakan pembayaran penyelesaian secara berjadual.
“Bagaimanapun, apabila LHDN melihat komitmen kita untuk membayar cukai serta tunggakan tersebut, mereka membuat siasatan lebih mendalam dan akhirnya kita terima tuntutan kedua yang keseluruhannya berjumlah lebih RM10 juta melibatkan tempoh 2014 hingga 2019 pula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar semalam.
Mengulas lanjut katanya, tunggakan tersebut meliputi potongan cukai untuk pemain-pemain import terdahulu.
“Oleh itu, Menteri Besar yang juga Presiden KFA telah menyatakan kita akan bincang dengan LHDN untuk beri komitmen sebaik mungkin memandangkan kita bukan ada satu kewangan kukuh.
“Isu ini berlarutan sejak 2014. Justeru perbincangan akan dilakukan untuk dapatkan keputusan baik, bagi memastikan masalah ini tidak berlanjutan hingga membebankan pengurusan baharu pada masa depan,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Helang Merah dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2021 selepas menang bergaya 4-1 ke atas Melaka United FC di Alor Setar minggu lalu meskipun dalam kemelut tuntutan tunggakan cukai berkenaan.