PUTRAJAYA – Keluarga Altantuya Shaariibuu hari ini dibenar oleh Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kenyataan individu-individu yang dirakam oleh polis dalam siasatan kes pembunuhan model Mongolia itu untuk digunakan dalam saman sivil.
Saman itu difailkan 14 tahun lalu oleh bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev, isteri dan cucu lelakinya terhadap Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM100 juta.
Dokumen itu melibatkan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah daripada semua individu yang membantu siasatan kes yang berlaku pada 2006 sama ada mereka dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan atau sebaliknya.
Percakapan itu termasuk yang direkodkan daripada Azilah (bekas Cif Inspektor), Sirul Azhar (bekas Koperal) dan Abdul Razak yang merupakan defendan-defendan dalam tuntutan saman tersebut.
Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya selepas membenarkan rayuan keluarga Altantuya, tanpa kos.
Mahkamah turut memerintahkan salinan kenyataan itu diberikan kepada keluarga model berkenaan dalam tempoh dua minggu.
Dalam prosiding hari ini, peguam Sangeet Kaur Deo mewakili keluarga Altantuya manakala Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali hadir bagi pihak responden-responden. -K! ONLINE