SEBERANG PERAI – Selepas kira-kira enam hari bertarung nyawa, seorang pelajar tingkatan lima yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pokok Sena, Tasek Gelugor di sini Ahad lalu meninggal dunia hari ini.
Mangsa, Muhammad Taufiq Muizz Zulkeflee, 17, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di George Town dekat sini.
Difahamkan, mangsa merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kailan, Kepala Batas di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kemalangan kira-kira pukul 9.55 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan motosikal jenis EX5 yang ditunggangi mangsa.
“Siasatan mendapati kereta dari arah Pokok Sena menghala ke Jalan Pokok Machang itu membuat pusingan-U sebelum datang sebuah motosikal jenis Honda EX5 secara bertentang telah melanggar bahagian kanan kereta tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal cedera parah dan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noorzainy, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Wad Neuro HPP kira-kira pukul 10.30 pagi hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929