SHAH ALAM – Perasaan gembira bercampur sebak diluahkan jemaah warga emas apabila yang telah vaksinasi dapat menunaikan solat Jumaat hari ini.
Rata-rata mereka yang ditemui di Surau Al-Ansor, Seksyen 2 di sini menzahirkan kesyukuran menjadikan solat Jumaat itu sebagai medan pertemuan dengan rakan-rakan lama selain orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
Menurut salah seorang jemaah, Kolonel bersara Mohd. Yusof Abdul Razak, 72 berkata, dia amat merindui untuk melaksanakan solat tersebut bersama teman rapatnya setelah lebih enam bulan tidak dapat berbuat demikian.
“Di surau sahaja saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan kerana kami jarang berjumpa di luar kerana masing-masing sibuk dengan urusan keluarga sendiri.
“Saya mempunyai banyak koleksi gambar aktiviti yang dijalankan di surau ini bersama kawan-kawan, justeru kebenaran menunaikan solat Jumaat di surau merupakan satu rahmat besar,” katanya dengan penuh perasaan ketika ditemui di surau tersebut hari ini.
Seorang lagi jemaah, Talib Abdul Wahid, 70, berkata, kebenaran penambahan kehadiran jemaah oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dianggap sebagai rahmat dengan hadir awal agar tidak melepaskan peluang tersebut.
“Sememangnya amat merindui bersolat Jumaat terutama apabila kehadiran jemaah dihadkan dalam bilangan kecil sebelum ini.
“Sudah tentunya, saya berharap perkara ini berterusan dengan orang ramai dapat mengimarahkan surau dan masjid setiap kali solat Jumaat dan Fardhu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Ansor, Datuk Zakaria Yusuf berkata, surau tersebut berada dalam kategori surau kebenaran solat Jumaat iaitu, sebanyak 250 jemaah termasuk pentadbir masjid dibenarkan menunaikan solat Jumaat dalam satu-satu waktu.
“Pada minggu hadapan, surau akan melaksanakan tempahan slot solat Jumaat melalui aplikasi Masjid Pro untuk memastikan jumlah kehadiran jemaah untuk menunaikan solat itu diketahui lebih awal.
“Kadang-kadang kita bersimpati orang datang ke surau dengan harapan ada ruang untuk mereka tunaikan solat ini. Jadi, saya nasihatkan mereka mengikut SOP ditetapkan termasuk menerusi aplikasi slot kehadiran itu,” jelasnya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929