PETALING JAYA – Projek Bayu Sutera fasa pertama yang dibangunkan oleh pemaju hartanah, Matrix Concepts Holding Berhad (Matrix) telah berjaya mencatatkan tempahan sehingga 95 peratus dalam tempoh dua minggu sejak pelancarannya pada Ogos lalu.
Bayu Sutera merupakan projek perumahan terbaharu Kumpulan di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dengan meliputi kawasan seluas 86.4 hektar dan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion.
Projek tersebut menawarkan sejumlah 2,043 unit rumah teres dua tingkat dalam sembilan presint.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee berkata, ciri utama projek Bayu Sutera adalah taman unggul yang dinamakan Breezeway yang mana lokasi taman ini seiring dengan laluan angin pantai barat Semenanjung Malaysia.
Setiap presint juga mempunyai taman dengan lanskap tersendiri dan lengkap dengan kawasan permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, peralatan kecergasan dan senaman luaran.
Dari segi keselamatan pula, kesemua presint disediakan pagar sempadan yang tinggi dan pondok pengawal.
“Berbeza pendapat dengan yang lain, ini adalah masa yang terbaik untuk membeli rumah impian anda.
“Secara logiknya, pasaran hartanah masih melalui proses penstabilan dan para pembeli mempunyai kelebihan sekarang untuk membeli hartanah, baik rumah baharu ataupun rumah sub-sale.
“Lokasi di sini menjadi satu keutamaan disokong pula oleh faktor lain seperti kemudahan awam, keselamatan, aksesibiliti, penyambungan dan hubungan jalan raya utama yang padu menjadi elemen penting dalam penilaian pembeli membuat pilihan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.
Kok Yee menerangkan, sebanyak 308 unit daripada 325 rumah dua tingkat Celyn @ Bayu Sutera telah ditempah dan hampir semua unit sudut habis ditempah dalam minggu pertama itu sendiri.
Tambah beliau, rumah Celyn @ Bayu Sutera ditawarkan pada harga RM529,000 ke atas dan berdasarkan data, sebanyak 61 peratus pembeli rumah berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor, 26 peratus penduduk Negeri Sembilan, manakala bakinya dari negeri lain.
Projek hartanah itu melibatkan pembinaan empat jenis susun atur dengan binaan luas bermula dari 2,142 kaki persegi hingga 2,478 kaki persegi yang sesuai untuk keluarga dan isi rumah pelbagai generasi.
Ruang yang cukup besar ini memastikan keselesaan bagi pemilik kediaman selain privasi yang sangat diperlukan khususnya bagi mereka yang bekerja dari rumah.
“Kempen kami agak sederhana dan memfokuskan kepada aspek penciptaan nilai berdasarkan kualiti, reka bentuk moden dan fungsi serta pembangunan bandar lestari kami.
“Oleh kerana kadar tempahan Bayu Sutera fasa pertama yang amat memberangsangkan, Matrix Concepts akan melancarkan fasa seterusnya tidak lama lagi,” jelasnya.