IPOH – Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan mengalami pendarahan pada kepala dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di Taman Desa Pelancongan di sini kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian disedari bapa mangsa selepas dihubungi pengasuh itu yang meminta mengambil bayi terbabit yang dikatakan terjatuh dari alat bantu berjalan atau ‘baby walker’.
Katanya, setibanya lelaki itu di rumah pengasuh berkenaan, dia mendapati terdapat kesan bengkak pada kepala bayinya.
“Bapa mangsa bertanyakan keadaan bayinya kepada wanita berusia lingkungan 22 tahun itu dan dia memberitahu bayi tersebut terjatuh semasa didukung.
“Mangsa segera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, mangsa tidak sedarkan diri dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Berikutan itu katanya, satu laporan polis berkaitan cubaan bunuh diterima pihaknya semalam yang membawa kepada tangkapan pengasuh berkenaan.
“Bayi itu dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat pada pukul 7.10 pagi kelmarin, sebelum bapanya dihubungi pada pukul 2.35 petang untuk mengambil bayinya semula.
“Berdasarkan maklumat awal, suspek warga tempatan itu dikatakan telah menghempas kepala bayi itu sebanyak dua kali ke lantai kerana mangsa tidak berhenti menangis.
“Suspek hanya berhenti melakukan perbuatan itu setelah menyedari mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.
Tambah beliau, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929