SHAH ALAM – Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah dipinda sejak tahun 2019, iaitu ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, penggubalan akta tersebut dibuat bagi membolehkan pelajar insititusi pengajian tinggi (IPT) berpolitik di dalam universiti atau kolej mereka.
“Kalau tak silap saya, AUKU telah pun dipinda dua tahun lalu. Saya yakin semua pihak akan menyambut baik pindaan akta ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan desakan beberapa pengamal undang-undang yang meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminda akta tersebut, yang didakwa mengekang penglibatan mahasiswa dalam dunia politik.
Sementara itu, Ahmad Masrizal menjelaskan, sudah tiba masanya bagi semua pihak untuk membenarkan kumpulan ini berpolitik sebagai meraikan demokrasi di negara ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929