PUTRAJAYA – Peperiksaan subjek secara bertulis bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) akan digantikan dengan pelaksanaan pentaksiran yang berbentuk penilaian sepenuhnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, perubahan kaedah tersebut melibatkan kesemua calon bagi tahun 2020 lalu dan tahun semasa 2021.
“Keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kepada subjek yang dipelajari bermula Tahun 1 hingga 6,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
UPKK secara bertulis dijadualkan berlangsung serentak untuk calon 2020 dan 2021 dari 15 hingga 18 November depan setelah ditangguh daripada asalnya pada 4 hingga 7 Oktober ini.
Ia melibatkan lima mata pelajaran iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughatul Quran ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Peperiksaan itu kelazimannya dijadikan sokongan untuk kemasukan ke 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan.
Sijil berkenaan boleh dijadikan kelebihan bagi memasuki 12 buah sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan tiga buah sekolah menengah agama persekutuan (SMAP) kementerian tersebut.
Pada masa sama, Idris memaklumkan pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi Tahun 1 hingga 6 diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) selaras mengikut takwim persekolahan baharu 2021. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929