fbpx

Sempat mengucap sebelum hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat Mohd. Noor (gambar kecil) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di muara Sungai Dungun, Kuala Dungun semalam.

DUNGUN – Seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di muara Sungai Dungun kelmarin sempat mengucap kalimah syahadah beberapa kali sebelum tenggelam dan hilang.

Rakannya, Mohd. Ibrahim, 63, berkata, dia dan mangsa, Mohd. Noor Mamat, 67, saling berpaut antara satu sama lain sebelum terpisah selepas dipukul ombak besar.

Cerita Mohd., kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki mereka bersama tekong, Mahadi Ibrahim, 56, dipukul ombak ketika memasuki muara Kuala Dungun semasa pulang menangkap ikan pada pukul 1.55 tengah hari.

“Sewaktu kejadian, saya berada di bahagian belakang bot, manakala Mohd. Noor pula duduk atas tong ikan.

“Bot kami tiba-tiba senget selepas dipukul ombak sebelum tong ikan menggelongsor menyebabkan saya dan Mohd. Noor terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika ditemui di Jeti kuala Du­ngun semalam.

Mohd. memberitahu, semasa di laut, dia dan Mohd. Noor berkali-kali mengucap dua kalimah syahadah sementara me­nunggu bantuan tekong.

“Saya nampak Mohd. Noor panik dan memintanya bertenang dengan cuba mengapungkan badan mengikut perge­rakan ombak kerana kami tidak memakai jaket keselamatan.

“Kami berpaut antara satu sama lain tetapi lama-kelamaan dia semakin jauh dan hilang sebaik tekong sampai. Sebelum hilang, saya sempat mendengar dia mengucap syahadah,” katanya.

Jelas lelaki itu, tekong bot yang berpatah balik 10 minit kemudian membaling pelampung menyebabkan dia terselamat.

“Berada agak lama dalam laut dan dipukul ombak besar menyebabkan badan terasa penat,” katanya yang terkilan gagal menyelamatkan rakannya.

Sementara itu, Mahadi memberitahu, sebaik menyedari rakan-rakannya terjatuh, dia cuba untuk berpatah balik secepat mungkin, namun ombak besar menyukarkan pergerakan bot.

Mereka bertiga keluar menangkap ikan pada pukul 6.30 pagi hari yang sama dan mengambil keputusan untuk pulang selepas keadaan angin kencang dan laut bergelora.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, operasi mencari giat dilakukan hingga ke pesisir pantai Marang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI