fbpx

Sekeping kertas, ego dan nilai RM20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HANYA duit saku RM200 yang dibawa bersama dua beg kecil sebagai bekalan saat kali pertama menjejak kaki ke tanah Semenanjung pada tahun 1999.

Sebelum meninggalkan kampung yang jauh nun di pedalaman Sabah, bapa sempat titipkan beberapa pesanan. Kata bapa, hidup ini sangat ringkas. Kalau rasa lapar, pergilah makan dan kalau tiada makanan, berusahalah cari makanan.

Paling penting kata bapa, kalau tiada wang, rajin-rajinlah berkuli cari wang. Jangan sesekali tipu tauke.

Kalau tauke bayar gaji RM20 sehari, buatlah kerja setimpal dengan nilai RM20. Jangan culas dan ambil rezeki orang lain.

Beberapa tahun di perantauan dan selepas mendirikan rumah tangga, bapa titipkan lagi pesanan ringkas.

Kata bapa, andai kamu miliki hidup yang gembira, jangan sesekali menghina orang. Ingat, gembira manusia itu tidak kekal lama. Ia akan berkurangan atau hilang tiba-tiba.

Benar, sebagai anak dan kini seorang bapa, kita sedar tentang segala dugaan dan cabaran. Berselisih pandangan, berdebat soal idea dan bermasam muka adalah lumrah kehidupan.

Hatta mahu memilih juadah di atas meja sekalipun, kita sering bertelagah dan membuat keputusan yang salah. Lauk tidak kena dengan tekak, sayur terlebih masin dan teh O ais yang dipesan terlebih gula.

Di akhirnya, hanya kemaafan dari si tukang masak yang menyedapkan selera.

Zaman media sosial ketika ini, soal melakukan kesilapan atau terkhilaf adalah lumrah yang perlu dihadapi.

Menguris hati pihak lain, bersikap ego asbab kedudukan dan mendabik dada atas ilmu yang dimiliki. Semua itu adalah intipati kepada mereka yang sering melakukan kesilapan.

Namun, penyelesaiannya mudah. Hanya perlukan sekeping kertas digital yang disebarkan di media sosial untuk melepaskan diri.

Dengan ayat skema dan sedikit petikan ‘saya minta maaf’, maka segala kekusutan berakhir. Tidak perlu lagi ‘face to face’ untuk memohon maaf. Semua telah berubah dan diterima pakai.

Cara ini nampak bijak, tetapi sebenarnya telah mengubah budaya dan kehidupan bermasyarakat. Keegoaan terus disanjung, sedangkan rasa rendah diri semakin terpinggir.

Jarang sekali kita melihat ada susuk tubuh orang-orang ternama yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Kalau adapun, ia pastinya hadir daripada mereka yang gentleman dan berhati besar.

Di sebalik pelbagai krisis yang memberi kesan negatif kepada kehidupan rakyat, kadangkala nilai kemaafan itu sedikit sebanyak dapat menjadi penawar.

Dan paling penting, kemaafan itu biarlah datangnya dari suara atau perbuatan dan bukan semata-mata diluahkan di atas sekeping kertas putih.

Tokoh nusantara, Hamka pernah berpesan bahawa, manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah dan akan kembali ke tanah. Namun, kenapa masih ada yang bersifat langit?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI