LUMUT – Bunyi dentuman kuat mengejutkan satu keluarga sebelum melihat ruang tengah rumah mereka runtuh ditimpa sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan malam tadi.
Menceritakan detik cemas itu, Rahiah Zakaria, 74, berkata, dia melihat anaknya, Rokiah Yunus, 38, merangkak di bawah timbunan barangan dan alang bumbung rumah yang runtuh untuk memastikan dia selamat.
Katanya, ketika kejadian, Rokiah berada di ruang tamu melihat anaknya, Mohamad Amir Mohamad Nizar, 9, menyiapkan kerja sekolah.
Bahu kiri Rokiah tercalar selepas terkena sedikit alang bumbung rumah yang terjatuh.
“Mungkin kerana terkejut, cucu saya menangis sambil menjerit ‘Amir takut mati’, jadi saya membawanya keluar rumah walaupun dalam keadaan hujan dan gelap.
“Tubuhnya mengeletar dan saya memberinya minum bagi menenangkannya,” kata Rahiah ketika
ditemui di rumahnya.
Seorang lagi mangsa ribut, Zainuddin Ismail, 62, berkata, dia sedang berehat di ruang tamu apabila terdengar bunyi dentuman kuat di dapur rumahnya itu.
“Ruang dapur ranap ditimpa pokok mempelam, syukur saya tidak berada di dapur ketika itu,” katanya yang masih bujang dan tinggal seorang diri di rumah pusaka keluarganya di Kampung Pasir Panjang Laut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor berkata, kira-kira 70 rumah di daerah Manjung dilaporkan rosak akibat kejadian ribut kira-kira 30 minit malam tadi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929