KOTA BHARU – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menetapkan pasangan dan wali pengantin perempuan yang belum lengkap dos vaksin diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 selewat-lewatnya dua hari sebelum majlis akad nikah.
Pengarahnya, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, individu yang terlibat perlu menjalani sama ada ujian pantas (RTK) antigen, ujian reaksi berantai polimerase (PCR) atau ujian kendiri.
Menurutnya, keputusan ujian kendiri pasangan dan wali pengantin perempuan perlu dikemaskini di dalam aplikasi MySejahtera masing-masing.
“Hanya jurunikah atau imam yang telah lengkap divaksin sahaja boleh mengakad nikah pasangan tersebut.
“Pasangan boleh memohon untuk diakad nikahkan oleh imam atau jurunikah mukim bersebelahan yang telah divaksin jika mendapati jurunikah mereka belum lengkap dos vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Mohd. Rahim, majlis akad nikah dibenarkan dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sentuhan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Katanya, hanya 10 orang individu yang lengkap dos vaksin dibenarkan hadir ke majlis akad nikah termasuk pasangan pengantin, jurunikah atau imam, wali pengantin perempuan dan saksi.
“Wali pengantin perempuan boleh membuat permohonan wakalah wali sekiranya mengalami keuzuran untuk hadir di majlis akad nikah.
“Majlis akad nikah dibatalkan jika melanggar perkara dan peruntukan yang telah dikemukakan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929