MANCHESTER – Perpindahan bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo ke Manchester United musim ini menyaksikan penyerang prolifik itu memintas pencabar utamanya, Lionel Messi sebagai pemain bola sepak berpendapatan paling tinggi tahun ini.
Menurut laporan Forbes, Ronaldo dijangka menerima £91.5 juta (RM523.06 juta) sebelum cukai untuk musim 2021/2022 dengan £51.25 juta (RM292.97 juta) datang daripada bayaran gaji dan bonus diterimanya di Old Trafford.
Messi pula ketinggalan di belakang Ronaldo apabila menerima £80.5 juta (RM460.18 juta) diikuti dua rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Neymar dan Kylian Mbappe.
Walaupun sudah berusia 36 tahun tetapi Ronaldo masih berupaya muncul antara atlet dengan bayaran paling mahal di dunia selepas dikatakan menerima pendapatan sekitar £40 juta (RM228.66 juta) dari segi kontrak penajaan komersial sahaja.
Hanya tiga atlet sukan yang masih aktif ketika ini menerima bayaran penajaan yang lebih tinggi daripada pemenang lima Ballon d’Or itu seperti bintang tenis, Roger Federer, LeBron James (bola keranjang) dan legenda golf, Tiger Woods.
Difahamkan, Federer ketika ini meraih penajaan sebanyak £66 juta (RM377.29 juta) sementara James dengan jumlah £48 juta (RM274.39 juta) dan Woods pula menerusi nilai £44 juta (RM251.52 juta).
Sebagai rekod, salah satu faktor membantu ‘kekayaan’ Ronaldo kerana dia adalah atlet paling popular yang mempunyai hampir setengah bilion pengikut di media sosial iaitu 149 juta di Facebook, Instagram (344 juta) dan Twitter (94.3 juta). – AGENSI
10 pemain terkaya tahun 2021
Cristiano Ronaldo (Man. United)
£91.5 juta (RM523.06 juta)
Lionel Messi (PSG)
£80.5 juta (RM460.18 juta)
Neymar (PSG)
£69.5 juta (RM397.29 juta)
Kylian Mbappe (PSG)
£31.5 juta (RM180.07 juta)
Mohamed Salah (Liverpool)
£30 juta (RM171.49 juta)
Robert Lewandowski (Bayern Munich)
£26 juta (RM148.63 juta)
Andres Iniesta (Vissel Kobe)
£26 juta (RM148.63 juta)
Paul Pogba (Man. United)
£25 juta (RM142.91 juta)
Gareth Bale (Real Madrid)
£23.5 juta (RM134.34 juta)
Eden Hazard (Real Madrid)
£21 juta (RM120.05 juta)