fbpx

Pelancong puas hasilkan sendiri produk kraf tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOMPLEKS Kraf Langkawi yang terletak di Jalan Teluk Yu, Langkawi mula beroperasi pada tahun 1996 dan mempunyai keluasan 12.9 hektar memberi pengalaman berharga kepada pengunjung.

PERCUTIAN ke Pulau Langkawi, Kedah bukan hanya menghidangkan panorama indah dan makanan enak, tetapi pengunjung berpeluang menambah pengetahuan tentang produk kraf tangan daripada usahawan kraf tempatan dan boleh menjadikannya buah tangan istimewa untuk dibawa pulang.

Justeru, Kompleks Kraf Langkawi merupakan lokasi popular dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan produk kraftangan pulau tersebut serta pada masa sama, mempelajari cara untuk menghasilkannya.

Kompleks berkeluasan 12.9 hektar itu telah beroperasi sejak tahun 1996 dengan menampilkan pelbagai komponen kraf seperti pameran, jualan, bengkel pembuatan serta pelbagai aktiviti berkaitan dengannya.

Selain Langkawi, ada dua lagi kompleks kraf di Malaysia diselia Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia iaitu terletak di Kuala Lumpur, dan Johor.

CORAK ukiran kayu banyak menyuntik unsur alam sekeliling di pulau berkenaan.

Menurut Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Muhamad Razib Saruddin, objektif utama penubuhannya adalah untuk dijadikan sebagai pusat sehenti bagi memasarkan produk kraftangan usahawan di Langkawi khususnya dan juga Malaysia amnya.

“Terdapat 15 gerai jualan yang majoritinya menawarkan produk-produk terbaik usahawan kraf dari Langkawi seperti seramik, batik, ukiran kayu dan satu-satunya kraf kaca kristal buatan Malaysia.

“Usahawan kraf di sini banyak menyuntik motif-motif berunsurkan keindahan Pulau Langkawi seperti laut, suasana sekitar, terumbu karang, kerrang-kerangan dan hidupan laut,” katanya.

Tambahnya, di dalam kawasan kompleks tersebut turut menempatkan bengkel pembuatan kraf dan dua buah muzium iaitu Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat Perkahwinan.

Muzium Warisan mempamerkan item kraftangan sejak abad ke-19 yang mengetengahkan keunikan seni pembuatan kraftangan sebelum penggunaan mesin diperkenalkan seperti penghasilan peralatan menangkap ikan, sangkar burung dan pertukangan kayu.

Seterusnya, di Muzium Adat Istiadat Perkahwinan pula, pengunjung berpeluang melihat keindahan produk kraftangan dalam upacara perkahwinan setiap kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, Kadazan dan Sikh.

Muhamad Razib memberitahu, pihaknya menawarkan aktiviti pendidikan kraf yang memberi peluang kepada pelancong untuk merasainya sendiri.

PENGUNJUNG boleh cuba menghasilkan sendiri kraftangan dengan mendapat tunjuk ajar daripada usahawan terlibat.

“Mereka boleh membuat pelbagai produk kraf seperti mewarna batik, seramik dan cawan daripada buluh; membuat hiasan wau, menghasilkan bakul daripada surat khabar dan juga produk daripada tempurung kelapa.

“Bagi mereka yang ingin mempelajari pembuatan dengan lebih lanjut, kami juga menyediakan kelas menghasilkan produk tersebut bersama usahawan kraf itu sendiri,” ujarnya.

Katanya lagi, terdapat tiga platform digital telah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk membantu usahawan kraf iaitu aplikasi Craft On The Go, Facebook E-Kraf Bazar dan MyCraftshoppe.

Terdapat 15 gerai jualan yang majoritinya menawarkan produk-produk terbaik usahawan kraf dari Langkawi seperti seramik, batik, ukiran kayu dan satu-satunya kraf kaca kristal buatan Malaysia.

Di samping itu, kompleks tersebut turut menampilkan seni bina indah yang berkonsep Islamik dengan menekankan penggunaan corak geometri dan hiasan dinding pula menerapkan seni bina Melayu.

Sebagai lokasi kraf cukup popular di pulau peranginan itu, Kompleks Kraf Langkawi sentiasa merangka pelbagai acara menarik seperti Pasareka dan Fiesta Kraf Muzikal Langkawi yang akan diadakan pada bulan Disember nanti.

Di samping itu, kompleks tersebut juga bakal membuka galeri baharu pada bulan November depan yang mempamerkan evolusi rekaan kraftangan terkini daripada usahawan terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI