PETALING JAYA – Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM29,700 selepas diperdaya oleh satu sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dalam kejadian di ibu negara pada 15 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai seorang jurujual.
“Pada 15 September lalu, mangsa telah melayari internet dengan niat untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM5,000 dan tidak lama kemudian dia telah dihubungi oleh individu tidak dikenali yang mendakwa daripada sebuah syarikat pinjaman wang.
“Wanita berkenaan kemudiannya telah memberikan salinan kad pengenalan, penyata bank serta slip gaji untuk proses permohonan pinjaman wang dan dia kemudiannya telah diminta untuk membuat beberapa transaksi pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Mahidisham, sepanjang 16 hingga 19 September lalu, mangsa telah membuat sebanyak 13 transaksi secara berperingkat ke lapan akaun bank yang berbeza berjumlah RM29,700.
“Setelah bayaran bagi pemprosesan pinjaman dibuat, mangsa mulai tersedar dirinya ditipu apabila tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan.
“Siasatan awal ke atas akaun-akaun yang digunakan mendapati akaun tersebut terlibat dengan beberapa kes melibatkan pelbagai kesalahan jenayah komersial dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujar beliau.
Tambah Mohd, Mahidisham, polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali serta membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929