fbpx

Lelaki warga asing jual cecair kanabis dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cecair ganja yang dirampas daripada suspek. /FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing yang juga merupakan pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditahan polis dalam satu pemeriksaan di tepi Jalan Alamanda 2, Presint 1, Putrajaya, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, penahanan tersebut dibuat oleh pihak JSJN Kuala Lumpur susulan maklumat dan risikan yang dilakukan berhubung satu sindiket yang aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

“Suspek berusia dalam lingkungan 29 tahun dan ketika pemeriksaan hendak dilakukan lelaki tersebut telah bertindak melarikan diri namun berjaya dihalang oleh pihak polis.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun pemeriksaan yang dijalankan telah menemui dadah disyaki cecair kanabis seberat 200.62 gram malah lelaki tersebut juga didapati positif dadah jenis THC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis mendapati cecair kanabis itu digunakan dengan cara mengisinya ke dalam rokok elektronik (vape) dan boleh memberi kesan yang mengkhayalkan seperti penggunaan dadah jenis ganja.

“Urusan jual beli dijalankan menerusi platform media sosial dan cecair berkenaan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan rakan-rakan rapat suspek.

“Kegiatan suspek ini dikesan telah aktif selama dua bulan di sekitar Lembah Klang dan jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan mampu menampung penggunaan seramai 402 orang pengguna,” ujar beliau.

Tambah beliau, suspek kini direman 14 hari sehingga 5 Oktober depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI