BEAUFORT – Polis daerah ini menahan seorang kontraktor ekoran disyaki memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM45,000.
Suspek berusia 37 tahun itu dipercayai menawarkan perkhidmatan bina rumah berkenaan berjaya ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada pukul 3.30 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek membuat perjanjian untuk pembinaan rumah dengan mangsa yang berkeluasan 83 meter persegi pada Februari 2017.
“Suspek juga meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan.
“Mangsa telah membuat tiga transaksi pembayaran deposit kepada syarikat milik suspek dengan bernilai keseluruhan sebanyak RM43,000.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan rumah milik mangsa tidak pernah dijalankan seperti yang dijanjikan sehingga kini selepas pembayaran dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Yusoff Zaki, mangsa kemudiannya cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan maklum balas namun gagal sebelum pergi ke pejabat penama dan terkejut selepas mendapati pejabat berkenaan tidak lagi wujud.
“Menyedari ditipu, mangsa terus membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sebelum suspek berjaya ditahan,” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929