PETALING JAYA – Umat Islam di negeri Selangor disaran memanfaatkan sebaik-baiknya kelonggaran yang diberikan untuk solat berjemaah di masjid dan surau bermula semalam.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ketetapan baharu diberikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor itu perlu disyukuri dan digunakan masyarakat Islam untuk berlumba-lumba memenuhi masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata, adalah perlu menunjukkan komitmen, kesungguhan dan kerinduan terhadap masjid dan surau memandangkan sebelum ini ramai dalam kalangan masyarakat Islam sebelum ini merungut untuk diberi peluang beribadah di rumah suci itu.
“Diharapkan kuota yang diberikan kepada setiap masjid dan surau dapat dipenuhkan supaya kita boleh sama-sama menadah tangan berdoa ke hadrat Ilahi agar pandemik Covid-19 segera berakhir.
“Kelonggaran ini juga dilihat sebagai satu daripada komitmen dan usaha kita sebagai umat Islam untuk berjaya di dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata demikian ketika mengulas mengenai ketetapan baharu solat jemaah di masjid, surau dan musolla untuk solat fardu Jumaat serta solat fardu lima waktu di Selangor dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar turut berharap pandemik COVID-19 yang melanda dunia dapat memberi transformasi baharu kepada masyarakat Islam untuk memenuhi masjid ketika solat fardu lima waktu dan bukan sekadar solat Jumaat.
“Jadikan tempoh pandemik Covid-19 ini sebagai titik transformasi kepada umat Islam untuk melakukan penghijrahan terutama dalam melakukan ibadat solat.
“Insya-Allah selepas ini, kita akan lihat keadaan luar biasa di masjid kerana sentiasa diimarahkan oleh jemaah ketika masuknya waktu solat fardu lima waktu dan fardu Jumaat,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929