KLANG – Sebuah kapal layar MV OCEAN SERENE yang karam di perairan Pelabuhan Selatan di sini malam tadi dikatakan bermula apabila kapal tersebut ditolak dengan angin kuat ketika bersauh di pelabuhan tersebut.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) berkata, kejadian dikatakan berlaku pukul 7.30 malm dengan penolakan angin tersebut menyebabkan air masuk terlalu laju melalui lubang di transom kapal tersebut.
Katanya, kapal tersebut berdaftar di Langkawi, Kedah.
“Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengepam keluar air yang masuk terlalu laju.
“Kapal terus menuju sebelah pelabuhan dan tenggelam sebahagiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata JLM, seramai enam krew warga Indonesia telah diselamatkan oleh sebuah bot milik orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Tambah JLM, bot Jabatan Laut Wilayah Tengah juga telah diarahkan membuat pemantauan pada pagi ini bagi mengesan tumpahan minyak disekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.
“Jabatan Laut Wilayah Tengah juga akan membuat proses penandaan “Special Mark Buoy” di kawasan tersebut bagi memastikan laluan tersebut tidak digunakan buat masa ini.
“Satu pasukan penyiasat juga telah ditubuhkan oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah bagi mengetahui punca kejadian dan kos yang terlibat,” jelasnya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi dua minit 50 saat di laman sosial memaparkan detik-detik kesemua krew kapal itu diselamatkan sebuah bot pemancing. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929