KUALA NERUS – Sebuah tong gas cecair petroleum (LPG) atau gas memasak seberat 14 kilogram (kg) yang berharga RM26.60 naik melambung sehingga RM45 di Kampung Baru Pulau Redang di sini.
Senario yang sudah berlarutan sejak lima tahun itu membuatkan rata-rata penduduk perkampungan tersebut yang mencari makan sebagai nelayan sangat tertekan.
Beberapa pengusaha kedai runcit di pulau peranginan itu juga mendakwa terpaksa menjual tong gas memasak pada harga setinggi itu walaupun ia barang kawalan kerana kos pengangkutan ke pulau tidak diberikan subsidi.
Seorang pengusaha kedai runcit, Zulkifli Mahmud, 43, berkata, pembekal mengenakan harga kos RM40 bagi sebuah tong gas memasak tidak termasuk caj dua peratus pengangkutan menggunakan bot.
“Ikutkan saya cuma untung RM3 bagi setiap tong gas memasak yang dibeli pelanggan. Mungkin boleh dapatkan harga lebih murah jika menggunakan bot sendiri, namun kos minyak pula mencecah RM100 untuk setiap perjalanan dua hala.
“Tiada pilihan lain kecuali reda, namun kami kasihan dengan pengguna yang juga rakan-rakan sekampung. Harap pihak berwajib dapat mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pulau Redang di sini baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga, Nazura Mohd. Nor, 47, pula menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil serius masalah yang membelenggu mereka sejak bertahun lamanya.
Jelasnya, bukan sahaja tong gas memasak, malah kebanyakan bahan mentah lain turut dikenakan caj 10 peratus bagi setiap penghantaran masuk ke dalam pulau terbabit.
“Kami tidak salahkan pembekal tetapi sampai bila kami harus tanggung kos tambahan ini? Saya rayu kerajaan lakukan sesuatu bagi membantu kami.
“Kos sara hidup yang tinggi ini amat menekan penduduk kampung terutama sewaktu penularan Covid-19 ini. Bukan semua terlibat dalam sektor pelancongan, rata-rata kami mencari rezeki sebagai nelayan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd. Kia yang dihubungi semalam memberitahu, pihaknya mengambil maklum keluhan penduduk Pulau Redang terbabit.
“Kita akan mengambil langkah bersesuaian seperti menyeragamkan semula harga bahan api seperti LPG, petrol dan diesel di pulau peranginan dalam masa terdekat,” katanya.