fbpx

De Paula masih tersenarai bersama Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE PAULA (kiri) yang dikritik teruk susulan aksi kurang menyengat sebelum ini, namun masih mendapat kepercayaan Cheng Hoe selepas tersenarai dalam panggilan ke latihan pusat skuad kebangsaan.

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Guilherme de Paula masih mendapat kepercayaan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe apabila tersenarai dalam 24 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat.

Kem latihan pusat yang akan bermula 1 Oktober depan adalah sebagai persediaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan kelas A menentang Jordan iaitu 6 Oktober serta Uzbekistan pada 9 Oktober di Amman, Jordan.

De Paula merupakan antara 12 pemain yang dikekalkan Cheng Hoe daripada skuad latihan pusat pada Mei dan Jun lalu ketika menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

SENARAI 24 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Selain De Paula, pemain yang dikekalkan ialah Aidil Zafuan Abd. Radzak, Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan Luqman Hakim Shamsudin.

Keputusan Cheng Hoe menyenaraikan De Paula untuk kem latihan pusat kali ini pastinya menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong selepas pemain kelahiran Brazil itu menampilkan aksi kurang menyengat sebelum ini.

Enam muka baharu juga dipanggil menyertai kem latihan pusat kali ini termasuk penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Sementara itu, Cheng Hoe juga memanggil balik enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini seperti penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Pemain-pemain tersebut akan melaporkan diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober nanti dan dijadualkan berlepas ke Amman sehari kemudian bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan sebelum pulang ke tanah air pada 10 Oktober.

Dua perlawanan itu bakal menjadi medan terbaik buat Cheng Hoe menilai prestasi para pemain dalam usaha membentuk skuad terbaik menjelang saingan Piala Suzuki AFF yang bermula 5 Disember nanti serta pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI