PETALING JAYA – Seorang pakar bius mendedahkan 99 peratus daripada pesakit yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital tempatnya bertugas terdiri daripada kelompok yang menolak vaksin atau ahli keluarga mereka.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Dr. Hana Hadzrami berkata, hanya seorang pesakit yang sempat menerima satu dos vaksin tidak memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Baik sangat orangnya. Ikut kata dan selalu ucap terima kasih pada kami. Mereka yang lain, malas hendak cerita. Perlu kesabaran yang tinggi untuk menguruskan mereka dan ahli keluarga mereka.
“Majoriti pesakit tolak vaksin dengan alasan pilihan sendiri. Kami tiada masalah dengan orang yang ada pilihan sendiri jika ia melibatkan warna pakaian kegemaran, kenderaan atau makanan. Suka hati hendak pilih apapun. Asal tidak menganggu sesiapa.
“Ini ibarat orang yang pilih hendak terjun lombong berbanding mandi di rumah. Masalahnya dia tidak tahu berenang dan tidak mahu guna pelampung. Tapi dia ‘demand’ (menuntut) semua orang standby (bersedia) untuk selamatkan dia jika lemas. Begitulah ibaratnya,” tulisnya semalam.
Hantaran beliau mendapat lebih 5,000 tanda suka dan dikongsi lebih 1,000 kali dengan kebanyakan netizen merumuskan analogi yang diberikan Dr. Hana sangat tepat dan menyifatkan golongan tersebut sebagai mementingkan diri sendiri.
“Saya tidak kisah orang antivaksin disebabkan pilihan sendiri. Tetapi jangan menyusahkan orang lain boleh tak,” ujar Fadzilah Hadith.
“Dari dahulu ICU Covid-19 memang penuh dengan mereka yang tidak divaksin. Lama pula sekali masuk. Kalau pesakit yang sudah divaksin mereka ‘touch n go’ (tidak berada dalam wad tempoh yang lama) sahaja.
“Ubah polisi untuk antivaksin. Bayar bil 100 peratus. Mungkin baru ada akal sikit,” cadang S. Salleh Salleh. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929