LONDON – Seorang wanita mendakwa dia menghidap sejenis alahan terhadap benda sejuk dan tidak boleh menikmati aiskrim kerana berpotensi untuk membunuhnya, lapor akhbar The Sun semalam.
Zuzanna Dmitruk, 20, menghidap cold uticaria iaitu sejenis penyakit aneh yang menyebabkan tubuhnya membengkak dan gatal-gatal.
Pelajar berasal dari Manchester itu berkata, dia mula menyedari menghidap penyakit itu ketika berusia 10 tahun apabila jari-jemarinya membengkak akibat berada di luar bangunan pada musim sejuk.
“Dalam kes ekstrem, makanan sejuk akan menyebabkan saya mengalami sesak nafas.
“Sebelum saya disahkan menghidap penyakit ini, saya telah makan aiskrim dengan sangat banyak, dan ia telah menyebabkan tekak saya membengkak.
“Semua minuman saya perlu berada pada suhu bilik. Saya sama sekali tidak boleh minum minuman berais,” katanya yang makan bijirin sarapan bersama susu suam.
Jelas gadis itu lagi, suhu sekitar 10 darjah Celsius akan mencetuskan reaksi alahan.
“Selalunya ia ‘menyerang’ tangan saya, menjadi kemerahan, gatal, bengkak dan terasa sedikit sakit,” jelasnya.
Doktor memaklumkan kepada Dmitruk bahawa dia tidak boleh minum atau makan apa-apa yang sejuk dan mengelakkan perubahan suhu kerana penyakitnya boleh bertambah buruk serta mengakibatkan kematian. – Agensi