fbpx

Sebulan tahan sakit, Elyana ‘serah diri’ jalani kemoterapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elyana bakal menjalani rawatan kemoterapi bagi kanser limfoma yang dihidapinya selepas hampir sebulan menangguhkannya.

PETALING JAYA – “Akhirnya saya mengalah.”

Itu luahan penyanyi, Elyana yang mendedahkan lebih sebulan menanggung kesakitan hingga terpaksa ‘menyerah diri’ untuk dimasukkan ke hospital.

Ibu kepada dua cahaya mata yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak lebih 10 tahun lalu itu memaklumkan kesihatannya kembali merosot menerusi Instagram.

Dalam hantarannya itu, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 34, mendedahkan sudah lebih sebulan menderita menahan kesakitan hingga sukar melelapkan mata.

“Lebih sebulan menahan sakit sampai tak boleh tidur. Hari ini (semalam) masuk ubat tahan sakit, steroid dan ambil darah.

“Ujian Covid-19 memang wajib. Esok (hari ini) pemeriksaan jantung pula. Lusa buat ujian imbasan PET (Tomography Emission Positron) dan seterusnya, kemoterapi.

“Bismillahirrohmanirrohim. ‘You can do it, Nana!'” tulisnya di laman sosial sambil menyertakan gambarnya terbaring di katil hospital.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan perkembangan keadaannya, cuma daripada rujukan PET adalah ujian pencitraan yang menunjukkan tahap aktiviti metabolik sel selain membantu mengenal pasti sel kanser.

Kebelakangan ini Elyana tampak sentiasa positif berjuang melawan penyakitnya dengan berkongsi momen menjalani sesi rawatan radioterapi.

Malah, bulan lalu penyanyi Kalis Rindu itu turut memaklumkan berat badannya menunjukkan peningkatan positif daripada 35 kilogram (kg) kepada 49kg.

Perkongsian berkenaan tentu saja membuatkan rakan seperjuangan dalam industri seni, sahabat maya dan pengikut di platform media sosialnya terkejut.

Ramai meninggalkan kata-kata semangat di ruangan komen selain memintanya terus kuat melawan sel jahat itu.

Terdahulu, menerusi InstaStory, Elyana tidak ketinggalan berkongsi kisah mengenai kekuatan yang dikumpulkan untuk meneruskan perjuangan diri.

“Kekuatan yang aku lakonkan menjadi sebati dalam diri. Bahagian tubuh mana yang aku tak sakit? Semua sakit. 10 tahun. Semua sakit,” dedahnya lagi.

Elyana sebelum ini merahsiakan keadaannya daripada orang luar, namun membuat pendedahan itu ketika diumumkan tersingkir daripada musim keempat Gegar Vaganza (GV4), pada November 2017.

Ketika itu dia memberitahu disahkan menghidap kanser kelenjar tahap dua selepas melahirkan anak sulungnya, Cinta Sumayyah.

Difahamkan kanser tersebut telah merebak ke beberapa organ badan termasuk rahim, hati dan pangkal paha. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI