TUMPAT – Cubaan seorang remaja yang meloloskan diri daripada ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa memandu sebuah kereta dengan muatan 750 kilogram beras Siam gagal apabila keretanya itu terbabas ke dalam parit di Kampung Periuk, Cabang Empat Tok Mek Ngah di sini hari ini.
Suspek yang berusia 17 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback itu ditahan kira-kira pukul 12.57 tengah malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rutin rondaan di Kampung Kajang Sebidang di sini.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kereta itu bertindak memecut laju ke arah Cabang Empat Tok Mek Ngah.
“Sewaktu mengejar suspek, kereta yang dipandunya didapati telah hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di bahu jalan.
“Pemeriksaan mendapati suspek baru berusia 17 tahun selain menjumpai pelbagai jenis beras Siam berjumlah 750 kilogram yang dianggarkan bernilai RM 3,000 di dalam kereta dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929