RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak dua tan karkas babi hutan ke negara jiran selepas menahan sebuah van di Kampung Degong Telaga Mas, Lubok Setol di sini malam tadi.
Van yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam sebelum anggota PGA mendapati kenderaan tersebut membawa karkas babi hutan yang dianggarkan bernilai RM50,000.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat sebuah van dipandu dalam keadan mencurigakan ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan tersebut.
Menurutnya, anggota PGA terus menahan van tersebut untuk menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum menjumpai dua tan karkas babi hutan.
“Siasatan mendapati, kesemua karkas babi hutan itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk van itu dianggarkan berjumlah RM58,000. Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Lubok Setol di sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929