fbpx

Penjara Bentong antara terawal lengkap suntikan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Ab. Basir Mohamad (empat dari kanan) bersama Datuk Abu Hasan Hussain (kanan) dan Dr. Aishah Mohd. Salleh (dua dari kanan) memantau program pemberian vaksin di Penjara Bentong di Bentong hari ini.

BENTONG – Penjara Bentong menjadi antara penjara terawal di negara ini yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 kepada semua penghuninya.

Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab. Basir Mohamad berkata, sebelum ini, seramai 1,200 baki penghuni penjara berkenaan yang belum menerima vaksin diberikan suntikan hari ini.

“Pada program bermula 1 September lalu seramai 1,509 orang penghuni penjara Bentong telah menerima suntikan vaksin jenis Pfizer dan Astra Zeneca dan hari ini seramai 1,200 lagi menerima suntikan CanSino.

“Ini adalah sebahagian usaha mencegah penularan wabak Covid-19 dan kita ingin memaklumkan kepada keluarga penghuni terlibat supaya jangan gusar kerana kita melaksanakan program vaksinasi kepada semua penghuni penjara,”katanya selepas meninjau program suntikan vaksin di Penjara Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Bentong, Datuk Abu Hasan Hussain dan Pegawai Kesihatan Program Vaksinasi Penjara Bentong, Dr. Aishah Jamilah Mohd. Salleh.

Tambah Ab. Basir Penjara Penor yang sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan telah mencapai kadar vaksin 50 peratus dijangka mencapai 100 peratus pemberian vaksin menjelang penghujung bulan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Disember lalu seramai 1,130 banduan di Penjara Bentong direkodkan positif Covid-19 manakala seramai 268 banduan di Penjara Penor di Kuantan dijangkiti Covid-19 sejak 1 Ogos lalu.

“Setakat ini tiada lagi kes positif di Penjara Bentong manakala 26 orang banduan yang positif dari Penjara Penor dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Penjara Bentong.

“Kita menyasarkan menjelang penghujung tahun ini penghuni dua buah Penjara di Pahang iaitu Penjara Penor dan Penjara Bentong akan lengkap suntikan Covid-19,”katanya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI