fbpx

Mahu bebaskan anak, ‘askar pencen’ ditipu anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Kerana sayangkan anak seorang warga emas sanggup membayar RM16,000 bagi tujuan membebaskan anaknya itu daripada tahanan polis tetapi malangnya pesara tentera itu ditipu anak saudaranya sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 6 Julai lalu apabila mangsa menerima mesej melalui WhatsApp daripada nombor tidak dikenali.

“Individu terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis iaitu ‘ASP Prakash’ dan membuat tawaran untuk bebaskan anak lelaki mangsa yang ditahan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Jerantut atas kesalahan dadah melibatkan kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“‘ASP Prakash’ meminta mangsa berurusan dengan anak saudara mangsa bernama Nuar yang kemudian meminta mangsa menyediakan duit untuk urusan membebaskan anaknya itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa telah mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada ‘ASP Prakash’ melalui akaun bank milik individu lain.

Bagamanapun katanya, selepas itu mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak narkotik IPD Jerantut memaklumkan bahawa anaknya akan dihantar ke Penjara Simpang Renggam di Johor.

“Mangsa berasa terkejut kerana telah membuat bayaran untuk melepaskan anaknya dan mangsa juga telah meminta anak saudaranya itu memulangkan semula wangnya namun individu terbabit gagal berbuat demikian.

“Mangsa tidak berpuas hati dan mengesyaki anak saudaranya itu bersubahat dengan ‘ASP Prakash’ untuk menipunya dan mangsa tampil membuat laporan polis,”ujarnya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI