KLANG – Kegiatan sebuah kilang memproses lebih 200,000 kilogram (kg) sisa buangan elektrik dan elektronik secara haram terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di sekitar daerah ini, semalam.
Serbuan lebih dua jam bermula pukul 10.30 pagi itu dilakukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, kejayaan itu hasil risikan pihaknya sejak Ahad lalu dengan semasa serbuan dilakukan didapati beberapa pekerja warga asing sedang meleraikan komponen elektronik secara manual.
“Hasil pemeriksaan menemui 200 beg dengan lebih 200,000kg mengandungi pelbagai buangan elektrik dan elektronik seperti papan litar bercetak serta kabel wayar kuprum selain sebuah mesin penghancur.
“Siasatan awal pihaknya turut mengesyaki buangan berkenaan diimport dari luar negara tanpa sebarang kelulusan. Ini merupakan rampasan terbesar dilakukan JAS Selangor pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah dan satu notis penutupan dan kompaun dikeluarkan serta merta terhadap premis berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Perlesenan Tred Perniagaan & Perindustrian (PTPP) MPK 2007,” katanya. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929