KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan RM593 juta bagi membeli peralatan tambahan untuk merawat kes kritikal akibat jangkitan Covid-19 sejak tahun lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perbelanjaan itu antaranya melibatkan pembelian katil Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator dan peralatan perubatan tambahan lain.
“Ini tidak termasuk sumbangan yang kita terima dari luar negara dan dalam negara. Jumlah sumbangan yang kita terima nilainya RM148 juta,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengenai peruntukan digunakan untuk merawat kes jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, KKM akan mengekalkan beberapa hospital sebagai hospital Covid-19 sama ada penuh atau hibrid sehingga wabak itu ditangani dengan baik.
Sementara itu, katanya, KKM menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Nasional bagi memobilisasikan kakitangannya ke negeri yang mengalami peningkatan kes Covid-19.
Menurut beliau, ia bertujuan mengelak kepenatan dalam kalangan petugas barisan hadapan berikutan beban kerja yang perlu dipikul.
Selain itu, katanya, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya yang diwujudkan di Lembah Klang akan diperluaskan ke negeri lain.
Kata beliau, penubuhan CAC maya di Lembah Klang menyebabkan kedatangan pesakit ke CAC rendah dan terkawal walaupun kes Covid-19 masih tinggi.
“Kita akan meningkatkan keberkesanan CAC maya yang mana mereka yang mempunyai keputusan ujian dan bergejala akan dihubungi melalui panggilan oleh pejabat kesihatan daerah,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berhubung prestasi dan keberkesanan CAC. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929