SHAH ALAM – Penurunan kes semasa Covid-19 yang terus konsisten dan terkawal membolehkan kehadiran jemaah bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di Selangor dipertingkatkan kepada 250 hingga 1,000 orang bermula hari ini.
Berdasarkan pekeliling Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kebenaran itu juga susulan peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.
Katanya, seramai 1,000 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri).
“Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabililillah, Cyberjaya dan masjid institusi dibenarkan seramai 500 orang.
“Selain itu, masjid pengurusan dengan kehadiran 400 jemaah, masjid kariah (350) dan surau kebenaran solat (250) sementara musolla tidak dibenarkan. Kesemua jumlah itu termasuk pentadbir,” katanya.
Mengikut ketetapan pekeliling itu juga, untuk solat fardu pula membenarkan 500 jemaah bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan 300 bagi empat buah masjid meliputi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabililillah, Cyberjaya dan masjid pengurusan dan institusi.
“Masjid kariah dan surau kebenaran solat Jumaat adalah 200 jemaah manakala musolla adalah 100 dengan semuanya juga termasuk pentadbir,” jelasnya.
Sementara itu, sumber JAIS ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan surat pekeliling tersebut dengan kebenaran hanya kepada mereka yang telah lengkap dua suntikan vaksinasi dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan (14 hari).
Kosmo! pada 3 September lalu melaporkan jumlah bilangan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di Selangor dipertingkatkan kepada 50 hingga 100 orang berbanding enam sahaja sebelum ini. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929