PEMBUANGAN sisa peranti elektrik dan elektronik atau dikenali e-sisa menjadi masalah global yang tidak berkesudahan hingga kini dan semakin membimbangkan.
Ini disebabkan penghasilan peranti berkenaan meningkat saban tahun, menambahkan lagi e-sisa.
Menurut data daripada Kawalan E-Sisa Global 2020, sebanyak 53.6 juta tan metrik sisa peranti elektrik dan elektronik dihasilkan di seluruh dunia pada tahun 2019.
Jumlah itu dijangka meningkat kepada 74 juta tan metrik menjelang 2030.
Di Malaysia, hanya 25 peratus daripada e-sisa dikitar semula.
Dalam usaha menangani masalah itu, syarikat yang mencipta platform pasaran untuk teknologi lestari peranti elektronik diperbaharui, Reebelo berhasrat mengurangkan e-sisa menjelang 2022.
Ini dapat dilakukan selepas syarikat itu melancarkan program pembelian semula peranti terbabit di negara ini oleh pengguna.
Menerusi program itu, pengguna boleh menjual peranti lama yang tidak digunakan kepada syarikat terbabit.
Kemudian peranti tersebut seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan lain-lain akan diperbaharui dan dijual semula sebagai aset baharu.
Dengan langkah ini, kadar pembuangan e-sisa dapat dikurangkan.
Menjalankan kerjasama dengan syarikat pembaharuan teknologi diperakui, Reebelo fokus untuk membantu pengguna beralih cara penggunaan teknologi kepada kaedah lebih mapan melalui pembaharuan dan kitar semula.
Pengarah Reebelo Malaysia, Shen Ong berkata, masalah e-sisa berkembang dengan cepat dan membimbangkan.
“Jika dibiarkan tanpa pengawasan, timbunan e-sisa boleh menjadi ‘gunung’ dan boleh memberi kesan berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.
“Reebelo didirikan untuk menangani krisis ini dan memberi cara baharu untuk kita semua menggunakan teknologi ke arah lebih baik,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya percaya, pada masa hadapan setiap orang mempunyai akses kepada peranti yang berpatutan dan berkualiti dengan cara lebih mesra alam.
Dalam pada itu, Shen Ong menjelaskan, matlamat syarikat itu adalah untuk mengubah cara dan persepsi pengguna mengenai peranti yang diperbaharui.
“Kami ingin mendidik pengguna dengan tabiat mesra alam dalam jangka masa panjang ketika membeli peranti teknologi,” jelasnya.
Katanya, Reebelo memberi jaminan peranti diperbaharui yang ditawarkan pihaknya adalah asli dan berfungsi dengan baik.
Ujarnya, setiap peranti terpakai yang dibeli dan mendapat sentuhan pembaharuan syarikat itu diuji bagi memastikan ia berada dalam keadaan terbaik sebelum memasuki pasaran.
“Di Rebeelo, pengguna akan mendapatkan 100 peratus jaminan peranti yang dijual masih berfungsi.
Selain itu, jelas Shen Ong, semua peranti yang ditawarkan pihaknya adalah gabungan set tempatan dan eksport berkualiti tinggi.
Ini bermakna, setiap peranti tidak dikunci rangkaian dan ia boleh digunakan di mana-mana rangkaian di Malaysia dan juga luar negara.
Peranti yang dijual di platform Rebeelo turut dilengkapi dengan jaminan lanjutan, selain pengembalian wang jika tidak berpuas hati.
Semua peranti ditawarkan Rebeelo hadir dalam kotak tertutup dengan jaminan standard selama tiga bulan.
Sementara itu, oleh kerana Reebelo adalah platform dalam talian dan syarikat itu bekerjasama dengan beberapa vendor tempatan yang dipercayai, pengguna sentiasa menjadi keutamaan syarikat berkenaan bagi mendapatkan harga terbaik.
Untuk itu, setiap vendor perlu memastikan semua peranti yang dijual berfungsi dalam keadaan terbaik dengan mengikuti spesi kasi ditetapkan oleh Reebelo.
Disebabkan vendor atau penjual yang menentukan harga peranti terbabit, kadangkala pelanggan akan menemui model peranti yang sama, tetapi berbeza sedikit dari segi harga.