fbpx

Empat petunjuk kita patut berhenti kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

MENDAPAT pekerja yang berdedikasi merupakan impian setiap majikan. Kalau kerjanya bagus, secara automatik pekerja itu disayangi dan sebaliknya pula akan berlaku jika orang yang diberi gaji itu bersikap culas dan sambil lewa.

Dalam permainan golf misalnya ada istilah ‘penumpang bas aircond’. Ia merujuk kepada rakan pasukan yang selalu ‘over’ dan hanya mengharapkan pemain lain mendapat par atau birdie bagi menyelamatkan keadaan.

Kalau taktiknya menjadi, dia dapat naik podium untuk menerima piala, baucar beli-belah atau hadiah bersama-sama rakan pasukan lain sedangkan dia langsung tidak memberi apa-apa sumbangan. Ramai orang yang seperti ini dalam dunia realiti.

Begitu juga dalam bekerja. Adalah tidak adil sekiranya inginkan bonus atau gaji lebih tetapi si pekerja hanya menunggu durian runtuh hasil daripada rakan pejabat lain yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas demi menguntungkan syarikat.

‘Penumpang bas aircond’ selalunya akan jadi bahan umpatan. Lebih parah apabila rakan sekerja mula membezakan beban kerja yang dipikul dan merasakan suasana tidak lagi adil.

Orang seperti ini sepatutnya sedar sendiri. Tidak perlu tunggu ditegur kerana dia boleh tahu prestasi diri berdasarkan beberapa petunjuk yang ada di sekelilingnya.

Petunjuk pertama: Jika dia masuk mesyuarat, dia selalu diperli dan ideanya selalu di ‘krik krik’ oleh bos. Tiada orang menanya sejak dia masuk bilik mesyuarat sehinggalah dia keluar. Ibarat ada tak menambah, tiada tak mengurang.

Petunjuk kedua: Kalau dia ajak makan, orang mengelak. Tetapi dalam masa sekarang mungkin boleh diabaikan faktor ini ekoran larangan makan berkumpulan di pejabat kerana mengikut prosedur operasi standard bagi mengekang Covid-19.

Petunjuk ketiga: Ketika berbincang, majikan berulang kali menyebut mengenai prestasi kewangan dan terasa beban menggaji orang yang tidak mahu berusaha keras memajukan syarikat.

Petunjuk keempat: Bos langsung tidak ingat nama walaupun sudah bertahun kerja. Jika ini berlaku, ia merupakan petanda paling besar bahawa kita sudah tidak lagi berada di dalam benak fikirannya.

Dalam keadaan sekarang, mendapat dan mempertahankan kerja merupakan perkara utama. Ketika banyak syarikat membuang orang untuk mengecilkan kos operasi, kita yang ada kerja sepatutnya bersyukur dan membalas kepercayaan orang dengan bekerja bersungguh-sungguh ibarat akan hidup lagi 1,000 tahun.

Tanggungjawab majikan pula, menyediakan tempat kerja yang selamat, selesa dan cakna dengan keadaan sekeliling seperti pantas membuat keputusan jika berlaku hal-hal kecemasan.

Bukan itu sahaja, kebajikan ke atas pekerja juga perlu dititikberatkan supaya pekerja terasa berbaloi untuk memerah keringat demi masa depan bersama syarikat.

Pada akhirnya, bukan wang yang diharapkan 100 peratus tetapi tamak kepada kebaikan jika kita berniat melakukan kerja itu kerana ibadah di mana pahalanya sentiasa mengalir tanpa kita sedari. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI