fbpx

Buruh didakwa bakar pondok bit polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zamri (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membakar sebuah pondok bit polis di Jelawat, Bachok pada 11 September lalu. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar sebuah pondok bit polis di Jelawat, Bachok kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Zamri Mohd. Zakariyah, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat menggunakan api dengan cara membakar pondok bit polis.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di pondok bit polis Jelawat, Bachok kira-kira pukul 2.20 pagi pada 11 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar dan Husni Mubarak.

Terdahulu, Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Sebelum ini, tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di media sosial yang memaparkan perbuatan seorang penunggang motosikal membakar sebuah pondok bit polis di Jelawat, Bachok.

Susulan daripada kes itu, polis telah menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan, namun hanya seorang daripada mereka mengaku melakukan perbuatan itu.

Siasatan polis mendapati, suspek dipercayai termakan hasutan dan cabaran rakan-rakan yang tidak berpuas hati dengan ketegasan pihak berkuasa yang mengeluarkan kompaun menjadi punca dia bertindak membakar pondok bit polis itu.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI